02. Pendapat Orang Budiman Tentang Bahagia

23 11 2009

Pendapat Orang Budiman Tentang Bahagia

Ditanyakan orang kepada Yahya bin Khalid Al Barmaky, seorang Wazir yang masyhur di dalam Daulat Bani Abbas. “Apakah bahagia itu, Tuanku?”

Jawabnya:

“Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud”.

Kebahagiaan itu pernah dinyanyikan oleh seorang ahli syair bernama Hutai’ah, demikian:

Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta benda.

Tetapi taqwa akan Allah itulah bahagia.

Taqwa akan Allah itulah bekal yang sebaik-baiknya disimpan.

Pada sisi Allah sajalah kebahagiaan para orang yang taqwa.

Ahli syair yang lain, yang amat masyhur dalam perkembangan agama Islam, iaitu Zaid bin Tsabit, ahli syair Rasulullah s.s.w. berkata:

“Jika petang dan pagi seorang manusia telah beroleh aman sentosa dari gangguan masusia, itulah dia orang yang bahagia”.

Orang yang berpegang teguh dengan agama, kebahagiaannya ialah pada meninggalkan barang yang terlarang, mengikut yang tersuruh, menjauhi yang jahat, mendekati yang baik. Bahagianya ialah pada mengerjakan agama.

Ibnu Khaldun berpendapat:

“Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan”.

Abu Bakar Ar Razi tabib Arab yang masyhur itu menerangkan bahawa”

“Bahagia yang dirasa oleh seorang tabib, ialah jika ia dapat menyembuhkan orang yang sakit dengan tidak mempergunakan ubat, cukup dengan mempergunakan aturan makanan saja”.

Imam Al Ghazali, orang tua dan kiblat segala tabib jiwa berpendapat bahawa:

“Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah”.

Kata beliau seterusnya:

“Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah kita rasai nikmat kesenangan dan kelazatan, dan kelazatan itu ialah menurut tabiat kejadian masing-masing, maka kelazatan ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula segala anggota yang lain di tubuh manusia. Adapun kelazatan hati ialah teguh makrifat kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingat Tuhan. Tiap-tiap barang yang dahulunya tiada dikenal oleh manusia, bukan buatan gembiranya jika telah dikenalnya. Tak ubahnya dengan orang yang baru pandai bermain catur, dia tidak berhenti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan buah dam papan catur. Demikian pulalah hati yang dihulunya belum ada makrifatnya, kepada Tuhan, kemudian mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembira dan tidak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu, kerana kelazatan mata memandang yang indah tadi. Tiap bertambah besar makrifat, bertambah besar pula kelazatan”.

Seorang hamba rakyat akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan wazir, kegembiraan itu naik berlipat ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan raja. Tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih dari apa yang dapat diperkirakan oleh manusia, sebab tidak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah. Bukankah segala kemuliaan alam itu hanya sebahagian dari anugerah Allah? Bukankah segala macam keganjilan dalam alam itu hanya sebahagian yang sangat kecil dari keganjilan Maha Kuasa Allah?

Oleh sebab itu tidaklah ada satu makrifat yang lebih lazat daripada makrifatullah. Tidak ada pula suatu pandangan yang lebih indah dari pandangan Allah. Sebab segala kelazatan dan kegembiraan, kesenangan dan sukacita yang ada di atas dunia ini, semuanya hanya bertakluk kepada sebab pertimbangan nafsu, dan semuanya akan berhenti perjalanannya apabila telah sampai ke batas, iaitu kematian. Tetapi kelaatan makrifatullah bukan bertakluk dengan nafsu, dia bertakluk dengan hati. Maka perasaan hati tidak berhenti sehingga mati. Hati nurani itu tidak rosak lantaran perpindahan hidup dari fana kepada baka. Bahkan bila tubuh kasar ini mati, bertambah bersihlah makrifat itu, kerana tidak ada pengganggunya lagi, sebab kekuasaan iblis, hawa dan nafsu tidak sampai ke sana. Hati nurani itu telah keluar dari alam yang sempit, masuk ke daerah alam yang luas, keluar dari gelap gelita menuju terang benderang.

Kata Imam Al ghazali di bahagian yang lain:

“Kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan:

a. Kekuatan marah.

b. Kekuatan syahwat.

c. Kekuatan ilmu.”

Maka sangatlah perlunya manusia berjalan di tengah-tengah di antara tiga kekuatan itu. Jangan berlebih-lebihan menurutkan kekuatan marah, yang menyebabkan mempermudahkan yang sukar dan membawanya kepada binasa. Jangan pula berlebih-lebihan pada kekuatan syahwat sehingga menjadi seorang yang humuq (pandir), yang membawa kerosakkan pula. Maka jika kekuatan syahwat dan marah itu ditimbang baik-baikdan diletakkan di tengah-tengah, luruslah perjalanannya menuju petunjuk Tuhan. demikianlah pula hal marah. Kalau kemarahan itu berlebihan dari yang mesti, kejadian memukul dan mebunuh. Tetapi kalau dia kurang pula daripada yang mestinya, hilanglah diri dari perasaan cemburu (ghairah) dan hilang pula perasaan bertanggungjawab atas agama dan keperluan hidup atas dunia. Tapi kalau marah terletak di tengah-tengah, timbullah kesaaran, keberanian dalam perkara yang memerlukan keberanian, dan segala pekerjaan dapatlah dikerjakan menurut nikmat.

Demikian pula halnya dengan syahwat. Kalau syahwat itu bertambah-tambah, terjadilah fasiq (melanggar perintah Tuhan), onar (huru hara). Kalau syahwat kurang teguh, trejadilah kelemahan hati dan pemalas. Kalau syahwat berjalan di tengah-tengah, timbullah ‘Iffah ertinya dapat memerintah diri sendiri dan Qanaah, yakni cukup dengan apa yang ada serta tidak berhenti berusaha.

Kata belau pula:

Di dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan, sifat keganasan dan sifat malaikat. Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu, rohmu. Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian yang asli dari jiwamu, ida hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang setuju dengan sifat-sifat tadi, untuk pencapai bahagia.

Kebahagiaan sifat kebinatangan ialah makan, minum, tidur dan sebagainya. Kalau engkau dimasuki oleh kebinatangan itu lebih daripada ukuran yang mesti, tentu engkau hanya bersungguh-sungguh memikirkan makan dan minum saja.

Kesenangan dan kebahagiaan sifat ganas ialah memukul dan merosak. Kesenangan dan kebahagiaan syaitan ialah mempedayakan kamu dan menjerumuskan serta menghela. Kalau sifat syaitan itu ada pada engkau, engkau akan memperdayakan orang, menjerumuskan orang kepada kesesatan, menghelah-helah, memutar-mutar duduk perkara, sebab dengan demikianlah tercapai kebahagiaan dan kesenangan syaitan.

Adapun kesenangan dan kebahagiaan sifat malaikat ialah menyaksikan keindahan Hadrat Rubbiyah, keindahan Hikmat Ilahiyah. Marah dan syahwat tidak terpengaruh atas orang yang bersifat begini. Kalau engkau mempunyai sifat dari jauhar asal kejadianmu, sehingga akhirnya engkau tahu, jalan manakah yang harus ditempuh untuk mencari Hadrat Rubbiyah itu, sampai akhirnya engkau beroleh bahagia yang mulia dan tinggi, iaitu musyahadah, menyaksikan keindahan dan ketinggian Maha Tuhan, terlepas dirimu dari ikatan syahwat dan marah. Di sanalah engkau akan mengetahui bahawa syahwat dan kemarahan itu dijadikan Allah atas dirimu, bukan supaya engkau terperosok dan tertawan, tetapi supaya engkau dapat menawannya. Dapatlah keduanya engkau pergunakan jadi perkakas untuk mencapai maksudmu menuju jalan makrifat tadi, yang satu engkau jadikan kenderaan yang lain engkau jadikan senjata, sehingga mudahlah engkau mencapai keberuntungan, bahagia dan kesenangan.

Kalau engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup, iatu salah satu dari syahwat dan marah, hendalah engkau lawan sepenuh tenaga. Jika dia kalah sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati tidak akan sentosa kalau keduanya tidak ada lagi. Kalau engkau jalankan resep demikian, tentu akan memperolehi bahagia. Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang semestinya. Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau engkau langgar petaruh ini, tentu engau celaka, engkau dapat seksa yang bukan seperti, yang membuat engkau menyesal.

Sekianlah keterangan Imam Al Ghazali.

Dari keterangan beliau itu, maklumlah kita pendirian Imam Al Ghazali, bahawa kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi nafsu dan menahan kehendaknya yang berlebih-lebihan. Itulah yang bernama peperangan besar, lebih besar dari peperangan Badar yang paling besar. Tidak ragu lagi, bahawa orng yang menang dalam peperangan yang demikian, lebih daripada segala kemenangan. Tetapi Nabi kita bersabda, bahawa kembalinya dari perang Badar itu ialah kembali dari perang yang skecil-kecilnya, menempuh perang yang sebesar-besarnya, iaitu perang dengan nafsu.

Maka kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala kemenangan. Kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga yang mencari nama dan kemegahan. Pada lahir trenama, pada batin amalnya belum tentu diterima Tuhan. Sedang orang yang berperang dengan nafsu itu, kerapkali tidak dilihat manusia kemenangan itu lahirnya, tetapi tertulis dengan jelas di sisi Tuhan.

About these ads

Aksi

Information

One response

2 06 2010
masrul

masyaallah

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s




Ikuti

Get every new post delivered to your Inbox.

Bergabunglah dengan 39 pengikut lainnya.

%d blogger menyukai ini: